Pautan Artikel

Pautan artikel bagi isu-isu adalah seperti berikut:

1. Kebimbangan Matematik / Fobia Matematik













Artikel 1
Mathematics Anxiety Among Secondary School Students in India and its Relationship to Achievement in Mathematics
Oleh: Tahira Khatoon & Sadia Mahmood (2010)


Ulasan dan kritikan:
Sesungguhnya, tahap kebimbangan matematik boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor. Didapati faktor jantina merupakan salah satu faktornya. Didapati perempuan mempunyai tahap kebimbangan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Ini adalah konsisten dengan kajian yang dijalankan oleh Ramprasad (2003) yang juga mendapati hasil dapatan yang sama. Pada hemat saya, murid perempuan akan berasa malu jika mendapat keputusan yang tidak baik dalam matematik. Justeru, pelajar perempuan mempunyai tahap kebimbangan Matematik yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar lelaki.
Selain itu, faktor jenis sekolah juga dapat menentukan tahap kebimbangan Matematik murid. Kajian menunjukkan murid yang bersekolah di sekolah kerajaan mempunyai tahap kebimbangan yang lebih tinggi. Pada hemat saya, murid yang belajar di sekolah swasta mempunyai persekitaran yang lebih selesa, maka mereka kurang mengalami kebimbangan Matematik. Fulya (2008) juga menyatakan faktor persekitaran mengakibatkan kebimbangan Matematik.
Di samping itu, faktor pencapaian Matematik turut mempengaruhi tahap kebimbangan Matematik. Ma & Xu (2004) menyatakan sekiranya murid mendapat markah yang tinggi, tahap kebimbangan mereka dalam Matematik juga jauh lebih rendah. Hal ini demikian kerana murid yang berprestasi tinggi mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan berminat terhadap Matematik.
Sementelahan itu, persekitaran sekolah sebenarnya juga memainkan peranan yang penting dalam menguji tahap kebimbangan Matematik. Oleh itu, pihak sekolah berperanan penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif setara dengan murid di sekolah swasta. Usaha sedemikian bertujuan untuk membantu murid meningkatkan keyakinan mereka dalam pembelajaran Matematik.
Tuntasnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa faktor jantina, faktor jenis sekolah, faktor pencapaian Matematik dan faktor persekitaran sekolah dapat mempengaruhi kebimbangan Matematik dalam kalangan pelajar.


Artikel 2
Math Anxiety In Elementary And Secondary School Students
Oleh: Allan Wigfield & Judith L. Meece


Ulasan dan kritikan:
Hasil dapatan kajian terhadap kebimbangan Matematik dalam kalangan murid di sekolah rendah dan pelajar di sekolah menengah menunjukkan bahawa terdapat dua aspek yang perlu dititikberatkan, yakni aspek kognitif dan aspek afektif.
Jika kita meneliti dari aspek kognitif, didapati murid di sekolah rendah mempunyai kebimbangan Matematik yang sama dengan pelajar di sekolah menengah. Dalam pada itu, didapati kebimbangan murid untuk mendapat pencapaian yang rendah dalam Matematik akan meningkatkan tahap kebimbangan Matematik mereka. Maka, guru seyogianya mempunyai kesedaran terhadap sikap murid dalam kelas agar dapat memberikan pengaruh yang baik terhadap perspektif mereka dalam Matematik.
Dari segi afektif pula, didapati umur tidak memberi kesan terhadap tahap kebimbangan Matematik. namun begitu ia berbeza dengan jantina. Didapati murid perempuan memberikan reaksi negatif afektif terhadap Matematik berbanding lelaki. Kajian yang dijalankan oleh Lafferty (1996) yang menyatakan murid perempuan mempunyai tahap kebimbangan Matematik yang lebih tinggi. Hal ini demikiran kerana murid perempuan kurang selesa semasa melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran kerana tidak ingin menunjukkan kesilapan. Justeru, murid perempuan mempunyai tahap kebimbangan Matematik yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan murid lelaki.
Tuntasnya, kebimbangan Matematik boleh dibahagikan kepada beberapa aspek, Kesemua komponen memberi kesan kepada persepsi murid, penghargaan terhadap Matematik, dan prestasi mereka dalam Matematik. Oleh itu, guru seyogianya sedar akan komponen tersebut dan cuba sedaya upaya untuk membantu murid dalam mengatasi masalah-masalah Matematik.

Artikel 3
Aspects of Children's Mathematics Anxiety
Oleh: Karen Newstead (1998)


Ulasan dan kritikan:
      Daripada kajian yang telah dijalankan, didapati kebimbangan Matematik dalam kalangan pelajar bermula dari peringkat awal zaman kanak-kanak. Arnold et. Al di dalam Eugene (2010) juga menyatakan kebanyakan kanak-kanak mempunyai sikap negatif terhadap Matematik. Maka, adalah penting untuk mengatasi masalah kebimbangan Matematik dalam kalangan murid dari peringkat awal.
          Selain itu, kebimbangan matematik juga bekait rapat dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru yang menggunakan kaedah alternatif, khususnya kaedah ‘CAN’, dapat mengurangkan kebimbangan Matematik dalam kalangan murid jika dibandingkan dengan guru yang menggunakan kaedah tradisional yakni ‘chalk and talk’.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Oxford and  Vordick dalam Hasbee et al. (2009), faktor kaedah pengajaran dan pembelajaran menyumbang kepada kebimbangan Matematik dalam kalangan murid sekolah rendah. Guru yang menekankan kaedah penghafalan formula, kaedah latih tubi dan kaedah tradisional dalam pengajaran menyumbang kepada kebimbangan Matematik. Pada hemat saya, selain kaedah pengajaran dan pembelajaran, guru juga perlu meningkatkan keyakinan murid dalam kebolehan Matematik.
Bak kata pepatah, “rentuh buluh biarlah dari rebungnya”. Maka, kebimbangan Matematik dalam kalangan murid harus dikekangi dari zaman kanak-kanak lagi.


2. Jurang Pencapaian


Artikel 1
Research About Mathematics Achievement In The Rural Circumstance
Oleh: Craig B. Howley dan Erik Gunn


Ulasan dan kritikan:
Berdasarkan kajian ini, didapati antara faktor yang menyebabkan jurang perbezaan dalam bidang pendidikan ialah pekerjaan ibu bapa. Ini menyebabkan pencapaian Matematik di kawasan luar bandar merosot berbanding dengan kawasan bandar.  Ini mungkin berlaku kerana kekurangan perhatian dikalangan keluarga yang berpendapatan rendah. Ini turut disokong oleh kajian yang dijalankan di Australia di mana kebanykkan murid di sana tidak menyambung pelajaran tetapi hanya duduk di rumah ekoran daripada masalah kewangan yang di alami.
Selain itu juga, kajian yang dijalankan menunjukkan orang yang tinggal di luar bandar dibebani dengan kerenah orang bandar yang menggelar mereka sebagai tidak berpengetahuan dan bodoh. Mereka dikritik dengan teruk. Dan Ini mungkin salah satu penyebab berlakunya jurang diantara bandar dan luar bandar iaitu sikap. Ini memberikan impak yang negatif terhadap pembelajaran kerana tiada sokongan diberika bagi pendidikan orang luar bandar.
Di samping itu juga, ibu bapa yang tidak berpengetahuan juga menyumbang kea rah masalah ini. Ini kerana ianya member impak kepada prestasi murid tersebut. Ini disokong oleh Howell et al (1996) yang menyatakan bahawa kesan terhadap murid luar bandar adalah kerana ibu bapa yang tidak bersekolah. Ini menyebabkan perbezaan pendidikan tersebut.
Secara kesimpulannya, berlaku perbezaan di bahagian pendidikan bagi murid luar bandar dan bandar bermulanya di persekitaran murid iaitu keluarga. Oleh yang demikian, perhatian sewajarnya perlu diberi kepada keluarga yang bermasalah untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan luar bandar.   



Artikel 2
Hubungan Pencapaian Matematik Murid-murid Melayu Sekolah Rendah Luar Bandar Mengikut Minat Dan Jantina
Oleh: Norawati Binti Hashim (2004)


Ulasan dan kritikan:
Berdasarkan kajian ini, faktor minat terhadap Matematik menyumbang kepada pencapaian Matematik murid sekolah rendah. Jika minat murid terhadap Matematik tinggi, maka pencapaian mereka juga akan meningkat. Dalam pada itu, minat murid perempuan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan murid lelaki. Namun demikian, kajian menunjukkan bahawa faktor jantina tidak mempengaruhi pencapaian Matematik murid.
Daripada kajian ini, faktor minat dan jantina mempengaruhi pencapaian Matematik  murid dari luar bandar. Sesungguhnya, sekolah di luar Bandar didapati kekurangan kemudahan jika dibandingkan dengan sekolah bandar. Pada hemat saya, guru perlu menarik minat murid terhadap Matematik dengan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan inovatif. Dalam pada itu, kajian menunjukkan faktor minat mempengaruhi pencapaian Matematik murid di luar Bandar.
Selain itu, guru seyogianya mendedahkan murid kepada teknologi seperti penggunaan ICT biarpun di bandar atau luar bandar. Dengan demikian, murid dapat menerima perubahan globalisasi. Pada zaman globalisasi ini, kemudahan ICT haruslah dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.
Tuntasnya, kita sebagai guru seyogianya merapatkan jurang pencapaian di antara murid sekolah bandar dan luar bandar dengan pelbagai strategi. Demi demikian, murid luar bandar juga dapat menghadapi cabaran pada zaman globalisasi ini.


Artikel 3

Memperkasakan Pendidikan Luar Bandar
Oleh: Zalika Adam, Faridah Kassim & Mohamad Johdi Salleh (2009)


Ulasan dan kritikan:
Berdasarkan kajian ini. faktor-faktor yang mengakibatkan kemunduran pendidikan di luar bandar termasuklah faktor kemiskinan, faktor kekurangan tumpuan perhatian terhadap pelajaran, faktor ketiadaan motivasi belajar dalam kalangan murid, faktor kesukaran mengubah persepsi dan faktor kesukaran saluran teknologi
Sementelahan itu, usaha yang dapat memperkasakan pendidikan luar bandar termasuklah pilihan pendidikan yang lebih banyak, peranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), melengkapkan infrastuktur, kemahiran dan ketrampilan guru, sistem pentaksiran dan penilaian di sekolah dan peningkatan program pendidikan di sekolah. Dalam pada itu, terdapat beberapa cabaran dalam usaha memperkasakan pendidikan termasuklah wujudnya jurang pendapatan di kawasan bandar dan luar bandar, serta wujudnya jurang pendapatan di antara koridor utara dan rantau-rantau lain di Malaysia.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat jurang yang besar di antara pendidikan luar bandar dengan bandar. Pada hemat saya, sebagai guru, kita haruslah peka dengan keadaan murid. Selain itu, murid luar bandar perlu diberi perhatian agar mereka mendapat peluang pendidikan yang sama dengan yang di bandar.
Tuntasnya, kebajikan dan peluang pendidikan bagi murid dari luar bandar harus dipertahankan dan dijaga agar dapat meningkatkan pencapaian pendidikan murid dalam Matematik. Bagi menyumbang ke arah gagasan 1 Malaysia, kesamarataan dari segi peluang pendidikan harus dititikberatkan biarpun di bandar mahupun di luar bandar.



3. Trends in International Mathematics and Sciences Study (TIMSS)

Artikel 1

Why Using International Comparative Math And Science Achievement Data From TIMSS Is Not Helpful
Oleh: William G. Holiday & Berchie W. Holiday (2003)


Ulasan dan kritikan:
Secara umum, TIMSS berperanan untuk membuat perbandingan antara pencapaian Matematik di kalangan negara-negara antarabangsa. Namun demikian, terwujud juga kajian yang menyatakan bahawa keputusan TIMSS tidak mampu untuk menentukan pencapaian Matematik murid-murid. Hal ini demikian kerana terdapat wujudnya masalah penggunaan bahasa ibunda yang berbeza, bilangan sampel yang kurang, perbezaan kurikulum sekolah antara negara, pemilihan sampel yang tidak standard dan persediaan murid yang berbeza.
Berdasarkan artikel ini, keputusan TIMSS yang dikeluarkan adalah kurang berkesan untuk menentukan ranking setiap negara dalam pencapaian Matematik murid-murid. Pada hemat saya, bahasa ibunda harus digunakan dalam penggubalan soalan TIMSS agar tidak mengelirukan murid-murid dalam penjawaban soalan. Selain itu, pemilihan sampel haruslah telus dan secara rawak agar tidak mewujudkan keadilan. Di samping itu, penggubalan kurikulum sekolah juga haruslah dilaksanakan untuk menghadapi cabaran dalam zaman globalisasi. Sebagai contoh, Matematik Tahun 4 di bawah KSSR telah menyelitkan kandungan pertukaran mata wang asing. Dalam hal ini, murid-murid juga dapat didedahkan dengan pertukaran mata wang asing yang dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian.
Tuntasnya, adalah digalakkan bagi negara-negara mengambil ujian TIMSS. Namun, perubahan yang sesuai juga seyogianya dilaksanakan agar keputusannya boleh digunakan untuk menentukan pencapaian Matematik murid-murid di seantero dunia.

Artikel 2
Multilevel Analysis Of Achievement In Mathematics Of Malaysian Dan Singaporean Students
Oleh: M Najib Abd Ghagar, Rohani Othman & Ebrahin Mohammadpour (2011)


Ulasan dan kritikan:
Penerokaan variasi dalam pencapaian Matematik di Malaysia dan Singapura bagi murid-murid berusia 8 tahun telah dibincangkan dalam artikel ini. Selain itu, artikel ini juga membincangkan perkaitan antara perbezaan murid dan tahap sekolah. Sampel yang terlibat merupakan murid yang menyertai TIMSS pada tahun 2003. Daripada kajian ini, didapati tahap sekolah yang berbeza mempengaruhi pencapaian murid dalam Matematik.
Dengan itu, faktor sekolah akan mempengaruhi pencapaian murid dalam Matematik. Pada hemat saya, guru berperanan penting dalam pencapaian Matematik murid-murid. Selain itu, faktor-faktor lain yang mempengaruhi pencapaian Matematik termasuklah faktor konsep kendiri, faktor sikap murid terhadap Matematik dan faktor sumber pendidikan di rumah. Sesungguhnya, sikap murid juga menyumbang kepada pencapaian murid dalam Matematik. Pada hemat saya, murid-murid seyogianya diterapakn nilai dan persepsi yang positif terhadap Matematik.
Sesungguhnya, soalan TIMSS adalah lebih menjurus kepada soalan yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Maka, guru harus menyediakan soalan Matematik yang berperingkat aplikasi sepertimana yang dinyatakan dalam Taksonomi Bloom. Saya bersyukur kerana kerajaan kita pada zaman ini lebih menitikberatkan kemahiran berfikir beraras tinggi (KBAT) dalam kalangan murid. Segala usaha ini juga dapat membantu murid negara Malaysia berfikir beraras tinggi.
Tuntasnya, untuk bertanding dengan negara asing, negara Malaysia seyogianya berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam ranking TIMSS.


Artikel 3
Mathematics And Science Achievement In Malaysia
Oleh: Hui Peng Liew & Suet-ling Pong (2004)


Ulasan dan artikel:
Kajian ini adalah berkaitan dengan tahap pencapaian Matematik dan Sains dalam kalangan murid di Malaysia. Sampel kajian ini ialah murid yang menduduki TIMSS pada tahun 1999.
Berdasarkan kajian ini, murid bukan Melayu menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam mata pelajaran Matematik jika dibandingkan dengan mata pelajaran Sains. Selain itu, murid lelaki berpencapaian lebih baik dalam Matematik dan Sains jika dibandingkan dengan murid perempuan. Menurut kajian ini, faktor Ibu bapa dan pendidikan juga memberi kesan terhadap pencapaian Matematik tetapi bukan subjek Sains.
Melalui kajian ini, kedudukan Malaysia dalam TIMSS masih tidak memuaskan. Hal ini demikian disebabkan terdapat banyak kekangan yang masih belum diatasi. Khususnya, jurang pendidikan di antara murid di bandar dan di luar bandar.
Justeru, adalah dicadangkan agar polisi pendidikan harus diperbaiki untuk mencapai tahap pendidikan yang setara dengan negara lain. Dasar pendidikan yang menyeluruh juga diperlukan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam TIMSS.
Tuntasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh mengorak langkah untuk merangka kurikulum yang sesuai dengan murid-murid bagi meningkatkan prestasi murid dalam Matematik.


4. Akses dan Ekuiti

Artikel 1

Looking Critically at Teachers’ Attention to Equity in their Classrooms
Oleh: R. Judith Reed & Nicholas Oppong


Ulasan dan kritikan:
Takrifan ekuiti dan kewujudan ekuiti dalam bilik darjah telah dibincangkan dalam artikel ini. Dalam artikel ini, ia juga membincangkan isu perkauman dan status sosio ekonomi murid juga menyumbangkan kegagalan guru dalam usaha mewujudkan ekuiti dalam kalangan murid. Sesungguhnya, faktor diskriminasi wujud dalam kebanyakan bilik darjah.
Daripada artikel ini, ia juga mendedahkan para guru dalam peningkatan kefahaman murid terhadap isu bangsa, kelas dan jantina murid dalam amalan pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah. Pada hemat saya, setiap guru harus bersikap adil dalam pengajaran dan pembelajaran harian. Adalah tidak professional bagi seseorang guru bersikap tidak adil terhadap sebarang murid.
Sebagai guru, kita haruslah lebih peka kepada kepelbagaian yang wujud dalam kalangan murid. Sebagai contoh, guru patut memahami ketidaksamarataan status sosio ekonomi para murid yang wujud dalam bilik darjah, kemudian mengambil langkah yang sesuai untuk mewujudkan akses dan ekuiti dalam kalangan murid.
Tuntasnya, pencapaian Matematik murid adalah berkait rapat denagn akses dan ekuiti dalam kalangan murid.


Artikel 2
Beyond Access and Achievement: Equity Issues for Mathematics Teachers and Leaders
Oleh:  Rochelle Gutiérrez, Jennifer Bay-Williams, danTimothy D. Kanold


Ulasan dan kritikan:
Kajian ini menunjukkan perspektif guru terhadap penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran dalam Matematik dan Sains. Tiga aspek yang dititikberatkan termasuklah persekitaran, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, serta sikap murid. Malahan, artikel ini juga membincangkan aspek sudut persekitaran yang menyumbankan pencapaian Matematik murid.
Terbitan ekuiti dahulunya dianggap wilayah khas sekolah-sekolah dan daerah dengan peratusan besar pelajar tinggi kemiskinan atau pelajar warna. Dewasa ini, pemimpin-pemimpin pendidikan mengakui bahawa ketidaksamaan wujud dalam semua konteks, dan pendidikan matematik kita menyedari bahawa pengajaran dan pembelajaran akan bertambah baik apabila kita memberi ekuiti perhatian yang sama bahawa kita menumpukan kepada kurikulum, pengajaran, dan penilaian.
Atas sebab ini, Persatuan Matematik Guru Pendidik (AMTE), Majlis Kebangsaan Penyelia Matematik (NCSM), dan NCTM telah dibuat semua ekuiti keutamaan. Ekuiti adalah salah satu daripada empat prinsip-prinsip kepimpinan dalam Rangka Kerja Kepimpinan PERDANA NCSM ini: Prinsip dan Petunjuk untuk Pemimpin Pendidikan Matematik (NCSM 2008), yang menarik kepada penyelidikan untuk menggariskan tindakan dan tanggungjawab yang akan menggalakkan perbualan profesional fokus mengenai ekuiti.
Pada hemat saya, sebagai guru, kita haruslah menyediakan persekitaran yang kondusif, mempunyai sikap yang positif dalam kalangan guru dan mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam membantu murid meningkatkan prestasi murid dalam Sains dan Matematik.


Artikel 3
Equity in the Classroom

Oleh: Joseph DiMartino and Sherri Miles


Ulasan dan kritikan:
Artikel ini membincangkan kepelbagaian tahap pembelajaran murid. Dewasa ini, murid-murid akan dikelaskan berdasarkan pencapaian mereka dalam pembelajaran harian. Adalah dipercayai bahawa murid-murid yang diagihkan ke kelas berdasarkan pencapaian murid dapat memudahkan guru-guru dalam menguruskan kelas, di samping meningkatkan pencapaian murid.
Namun demikian, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa murid tidak sepatutnya dikelaskan mengikut tahap pencapaian mereka. Hal ini demikian kerana semua murid mempunyai hak yang sama untuk belajar dalam kelas yang sama tanpa sebarang diskriminasi.  Kaedah mengelaskan murid secara sama adil dikenali sebagai kumpulan heterogen digunakan dipercayai mampu mewujudkan keadilan dalam kalangan guru, di samping  menyediakan setiap murid dalam kelas yang mencabar.
Artikel ini juga turut mengetengahkan idea untuk memperkenalkan pengelasan murid secara heterogen tetapi menggunakan pendekatan arahan yang pelbagai, mengikut tahap murid yang berbeza-beza. Selain itu pendekatan stail pembelajaran yang pelbagai juga perlu diperkenalkan supaya tiada murid yang ketinggalan. Penilaian secara holistic juga sangat penting untuk menjamin ekuiti.
Pada hemat saya, pengelasan murid berdasarkan kumpulan heterogen memerlukan tenaga pengajar yang lebih. Sepertimana pengajaran dan pendidikan di negara asing, di mana terdapat sekurang-kurangnya dua orang tenaga pengajar dalam sebuah bilik darjah. Saiz kelas yang kecil juga merupakan satu isu yang dipertikaikan. Sesungguhnya, saiz kelas yang kecil lebih baik jika dibandingkan dengan yang besar, namun ianya agak sukar dilaksanakan kerana memerlukan peruntukan kewangan yang agak banyak.

5. Bahasa Pengantar Pengajaran

Artikel 1

Teachers Perspective Of Using English As A Medium Of Instruction In Mathematics And Science Subjects
Oleh: Norudin Mansor, Mohamed Ishak Badarudin, Azman Che Mat

Ulasan dan kritikan:
Artikel ini mengkaji perspektif guru dalam menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Kajian ini menunjukkan hubungan perspektif guru terhadap pencapaian murid selepas pelaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains melalui tiga aspek iaitu persekitaran yang kondusif, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, serta sikap.
Sejak PPMSI dilaksanakan, pelbagai pendapat, kritikan dan cadangan terhadap pencapaian murid Matematik telah banyak dipertikaikan. Penggunaan Bahasa Inggeris didapati mengakibatkan pencapaian Matematik murid semakin merosot. Justeru, kementerian membuat keputusan untuk menggantikan PPSMI dengan MBMMBI.
Pada hemat saya, penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran dalam Matematik dan Sains sesungguhnya berniat baik dan memerlukan masa yang panjang untuk menjayakan program tersebut. Walaubagaimanapun, faktor jurang pencapaian antara murid di bandar dan luar bandar juga harus dititikberatkan. Dalam pada itu, murid dari luar bandar mungkin lebih tidak biasa dengan pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana kurangnya pendedahan terhadap Bahasa Inggeris. Namun, bagi murid bandar pula, mereka lebih biasa dengan penggunaan Bahasa Inggeris.
Tuntasnya, untuk meningkatkan pencapaian murid dalam Matematik, segala aspek harus dipertimbangkan agar Malaysia lebih mencapai kecemerlangan dalam Matematik dan Sains.



Artikel 2

Impak Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Ke Atas Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.
Oleh: Cheong Tuen Keong


Ulasan dan kritikan:
PPSMI dahulunya diperkenalkan di SJK(C) bertujuan untuk membantu murid-murid menguasai istilah Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, di samping membantu mereka mengikuti pelajaran PPSMI di peringkat sekolah menengah. Namun, pelaksanaannya dikatakan akan membebankan murid, dan menyebabkan mereka berasa bosan di samping mengakibatkan mereka kehilangan minat dalam Sains dan Matematik.
Artikel ini telah memberikan kesedaran kepada kita bahawa terdapat banyak implikasi positif terhadap murid melalui pelaksanaan PPSMI. Sesungguhnya, pelaksanaan PPSMI pada peringkat awal amat membebankan murid. Namun, setelah murid-murid didedahkan dengan istilah Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, didapati penguasaan Bahasa Inggeris murid lebih mudah.
Pada hemat saya, impak pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ke atas murid sekolah ada baik dan buruknya. Kebaikannya, murid-murid mendapat pendedahan Bahasa Inggeris yang lebih banyak, di samping menyediakan mereka untuk menghadapi Matematik dalam sekolah menengah. Keburukannya, murid-murid yang berpencapaian rendah tidak dapat menguasai Matematik akibat tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris.
Tuntasnya, tiada parang yang tajam di kedua-dua belah, maka segala dasar kerajaan ada niat baiknya. Kita sebagai guru seharusnya berperanan sebagai penggerak dasar.
 

Artikel 3
Role Of Codeswitching In The Talk Of Primary School Mathematics And Science Teachers
Oleh: Razimi ZAkaria


Ulasan dan kritikan:
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan penukaran kod dalam pertuturan guru Matematik dan Sains di sekolah rendah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru mendominasi interaksi di dalam bilik darjah dan penukaran kod merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajar.
Analisis data menunjukkan guru PPSMI paling kerap menukar kod semasa memberi penerangan, terutamanya semasa menerangkan makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris dan semasa menjelaskan isi kandungan mata pelajaran kepada pelajar. Analisis data temu bual juga menunjukkan bahawa keprihatinan guru terhadap pemahaman pelajar satu punca guru menukar kod semasa mengajar. Kefahaman pelajar tentang makna perkataan atau frasa bahasa Inggeris yang digunakan dan konsep yang diajar merupakan punca utama guru menukar kod semasa mengajar.
Dapatan kajian ini merumuskan bahawa fungsi utama penukaran kod dalam pertuturan guru adalah untuk membantu dan memastikan kefahaman pelajar akan isi kandungan mata pelajaran yang diajar. Penukaran kod dalam pertuturan guru kebiasaan diamalkan oleh guru-guru yang mengajar di kawasan yang menggunakan dialek tertentu.
Pada hemat saya, guru-guru perlu melakukan ulangan huraian dengan menggunakan penukaran bahasa dalam pertuturan mengikut dialek yang mudah difahami. Namun, seboleh-bolehnya guru menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan penerangan.






0 comments:

Post a Comment