8. Pentaksiran















Artikel 1
Kesediaan Guru Sekolah Menengah Di Daerah Kota Bharu Dalam Melaksanakan Sistem Penilaian Prestasi Pelajar Berasaskan Sekolah
Oleh: Rosni Zamuddin Shah Bin Sidek, Siti Fatihah Bt Mohamed Salleh



Ulasan dan kritikan:
Kajian ini adalah berkaitan dengan kesediaan guru sekolah menengah di daerah Kota Baharu dalam melaksanakan sistem penilaian prestasi pelajar berasaskan sekolah. Dalam pada itu, sistem ini dilaksanakan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dan menggantikan sistem yang sedia ada yakni sistem berasaskan peperiksaan.
Dalam kajian ini, aspek yang dikaji dalam sistem ini meliputi lima aspek yakni personaliti pelajar, kegiatan kokurikulum, penilaian berasaskan peperiksaan peringkat sekolah, peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan peperiksaan awam. Selain itu, perbezaan kesediaan antara jantina menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan kesediaan di antara guru lelaki dan perempuan.
Menurut kajian ini, guru-guru mempunyai kesediaan dalam melaksanakan sistem penilaian prestasi pelajar berasaskan sekolah. Pada hemat saya, pentaksiran yang kini wujud dan digunakan dalam sekolah sejak zaman dahulu memang dapat digunakan untuk memperlihatkan tahap, di samping membandingkan pencapaian murid. Sebagai contoh, guru-guru boleh memanfaatkan ujian formatif dan sumatif, serta sistem penilaian prestasi pelajar berasaskan sekolah untuk menguji tahap kefahaman murid dalam pembelajaran.
Tuntasnya, adalah penting bagi setiap guru untuk mempunyai kesediaan dalam melaksanakan sistem penilaian prestasi pelajar berasaskan sekolah.



Artikel 2
Keberkesanan Kaedah Penilaian Melalui Internet

Oleh: Azmi Bin Hj. Awang 
Ulasan dan kritikan:
Dalam era globalisasi ini, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan semakin dibincangkan. Kepesatan ICT dalam abad ke-21 telah menimbulkan cabaran baharu kepada pendidikan pada dewasa ini. Untuk mendukung aspirasi negara dan mewujudkan masyarakat bermaklumat, maka pelbagai inisiatif untuk mengintegrasikan penggunaan ICT dalam PdP amat diperlukan. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mengubah cara hidup manusia dalam pelbagai aspek.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa cabaran ini membawa kepada implikasi yang besar kepada PdP dalam bilik darjah. Dalam kajian ini, pengkaji menyatakan bahawa prasarana telekomunikasi dan sistem maklumat berasaskan multimedia membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan maklumat secara sinkroni atau asinkroni. Sesungguhnya, melalui portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid dapat memanafaatkannya sebaik mungkin. Sebagai contoh, dalam proses penilaian, sesuatu portal boleh digunakan, di mana ianya boleh berbentuk interaktif yang membenarkan murid belajar secara kendiri dan boleh diulang-ulang bagi mendapatkan kefahaman.
Melalui penggunaan Internet, penilaian secara interaktif dapat disalurkan melalui talian dan diakses secara jarak jauh. Pembelajaran dalam talian atau e-pembelajaran ini bukan sahaja menyenang dan menyeronokkan, malahan membolehkan pelajar belajar di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Ini membolehkan pelajar menguruskan sendiri masanya dengan lebih efektif.
Tuntasnya, pembelajaran secara maya ini juga membolehkan pelajar meneroka maklumat baru menerusi perpustakaan digital atau laman web.

 

Artikel 3
Pengunaan Penilaian Formatif Sebagai Proses Melengkapkan Gelung: Satu Usaha Penambahbaikan
Oleh: Hamimi fadziati A. Wahab, Mohd Taufiq Mohd yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain

Ulasan dan kritikan:
Artikel ini adalah berkaitan dengan penggunaan penilaian formatif dalam usaha penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan satu kaedah untuk mengumpul, merekod, menganalisa serta menggunakannya untuk membantu proses pembelajaran (Harlen et al. 1992).
Implikasi penilaian kepada pelajar termasuklah dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang tahap pencapaian mereka, di samping dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu kaedah untuk mengesan pencapaian objektif pembelajaran.
Sesungguhnya, terdapat dua jenis penilaian berasaskan masa dan tujuan pelaksanaannya yakni penilaian formatif dan sumatif. Penilaian formatif merupakan satu penilaian secara berterusan dan dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung untuk menilai keberkesanan proses PdP. Manakala penilaian sumatif pula ialah penilaian pada akhir sesuatu tempoh proses PdP untuk menilai pencapaian pelajar. Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan secara berterusan melalui penilaian formatif.
Pada hemat saya, maklum balas yang diterima merupakan komponen penting yang dapat digunakan ke arah usaha penambahbaikan kepada proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan mutu penyampaian guru dan pemahaman pelajar. Namun, ia perlulah dibuat dengan komitmen daripada kedua-dua pihak agar proses melengkapkan gelung dapat dilakukan.
Tuntasnya, penggunaan penilaian formatif dapat menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada di negara ini, di samping mendukung aspirasi negara.

0 comments:

Post a Comment